- Membersihkan Badan Dan Pakaian
Najis yang terkena pada pakaian dan badan, maka hendaklah
dibasuh dengan air hingga hilang sekiranya benda najis tersebut dapat dilihat,
seperti darah. Tetapi apabila setelah dibasuh itu masih ada bekasnya dan sukar
dihilangkan, maka ia dimaafkan. Jika najis itu tidak dapat dilihat seperti air
kencing, maka cukup membasuhnya meskipun hanya satu kali basuhan. Dari Asma
Binti Abu Bakar ra berkata :
“Salah seorang perempuan datang berjumpai Nabi SAW dan
bertanya : Salah seorang kami berhaid, lalu darahnya terkena pada pakaian.
Apakah yang semestinya dilakukan? Beliau menjawab : Hendaklah darah tersebut
dikikis, kemudian digosok dan dibasuh dengan air. Setelah itu, pakaian itu
boleh dibawa dalam solat.” (Kesahihan hadis ini disepakati oleh ulamak hadis)
Jika najis itu terkena pada bahagian hujung bawah pakaian
seorang perempuan, maka ia menjadi suci dengan menyentuh tanah. Dalilnya hadis
berikut :
“Seorang perempuan bertanya kepada Ummu Salamah ra : Aku
menghulurkan hujung pakaianku hingga terjela dan menyentuh tanah. Pada ketika
itu, aku berjalan di tempat yang kotor. Bagaimanakah cara menyucikannya? Ummu
Salamah menjawabnya dengan sabda Rasulullah SAW : Hujung pakaian itu menjadi
suci apabila menyentuh tanah.” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)
Membersihkan Tanah
Cara membersihkan tanah yang terkena najis adalah dengan
mengalirkan air ke atasnya. Dalilnya hadis Abu Hurairah ra berkata :
“Seorang arab badawi berdiri lalu kencing di dalam masjid.
Ramai sahabat yang berdiri untuk menangkapnya sekali gus membalasahnya. Melihat
itu, Nabi SAW bersabda : Biarkan dia, kamu hanya perlu menyiram kencingnya itu
dengan sebaldi atau segayung air. Ingatlah bahawa kamu diutus untuk memberi keringanan,
bukannya untuk mendatangkan kesukaran kepada orang lain.” (Riwayat oleh
sekumpulan ulamak hadis kecuali Muslim)
Tanah yang terkena najis menjadi suci apabila ia kering dan
demikian pula benda-benda yang berada di sekelilingnya. Seperti pokok dan
bangunan. Abu Qilabah berkata : “Keringnya tanah bererti menandakan
kesuciannya”. Aisyah ra berkata : Sucinya tanah ialah dengan cara
mengeringkannya. Ini apabila najis itu cair. Tetapi jika najis itu beku, maka
tanah tidak menjadi suci melainkan benda najis tersebut dihilangkan atau
dibuang.
Membersihkan Kulit Bangkai
Kulit bangkai sama ada bahagian luaran mahupun dalamnya,
dapat disucikan dengan cara menyamaknya. Dalil hadis Ibnu Abbas ra berkata :
“Nabi SAW pernah bersabda : Jika kulit disamak, maka ia
menjadi suci.”
Samak ialah menyucikan kulit haiwan selain anjing dan babi
dengan syarat-syarat tertentu. Ia menggunakan bahan-bahan yang bersifat tajam
(peluntur) seperti tawas, bahan kimia dan sebagainya. Bahan-bahan tersebut
dapat menanggalkan dan menghilangkan semua kekotoran dan lendir yang
mengandungi kuman¬-kuman penyakit yang melekat pada kulit binatang tersebut.
Sabda Rasulullah SAW mafhumnya :
“Setiap kulit yang disamak menjadi bersih.” (Riwayat Muslim)
Menurut pendapat yang sahih, ketika menyamak kulit binatang
tidak wajib dibasuh dengan air. Oleh itu, sunat sahaja ketika menyamak kulit
itu disertai dengan air. Dalam hal ini apabila kulit berkenaan selesai disamak
maka harus ia diperjualbelikan, walaupun ia tidak dibersihkan dengan air.
Akan tetapi dalam masalah menggunakannya untuk kepentingan
ibadat solat, seperti dibuat pakaian untuk menutup aurat dan seumpamanya,
ataupun untuk kegunaan menyimpan barang yang basuh seperti air dan seumpamanya,
tidak harus menggunakan kulit yang telah siap disamak bagi tujuan-tujuan
tersebut (untuk dibawa sembahyang dan menyimpan benda yang basah) melainkan
setelah dicuci dengan air, walaupun ia disamak dengan bahan yang suci, apatah
lagi jika kulit itu disamak dengan menggunakan bahan penyamak yang najis,
kerana kulit yang telah disamak itu diumpamakan seperti pakaian yang terkena
najis.
Membersihkan Cermin Dan Seumpamanya
Membersihkan cermin, pisau, pedang, kuku, tulang, kaca,
bejana berkilat dan setiap kepingan yang tidak berlubang adalah dengan cara
menyapu najis berkenaan sehinggalah hilang kesan-kesannya. Para sahabat pernah
mengejakan solat, sedangkan mereka membawa pedang yang terkena darah dalam
peperangan. Mereka menyapukan mata-mata pedang itu dan cara itu mereka anggap
sudah memadai untuk menyucikannya.
Membersihkan Kasut
Selipar dan kasut yang bernajis menjadi suci dengan cara
menggosokkannya ke tanah hingga kesan najis tersebut hilang. Dalilnya hadis
dari Abu Sa’id Al-Khudri berkata :
“Nabi SAW bersabda : Jika salah seorang kamu datang ke
masjid, maka hendaklah membalikkan kedua-dua seliparnya dan kemudian
memperhatikan bahagian telapaknya. Jika terdapat kotoran, hendaklah
menggosokkannya ke tanah, kemudian dia dibolehkan memakainya dalam solat.”
(Riwayat Ahmad dan Abu Daud)
Di samping itu, kasut dan selipar merupakan benda yang
selalunya terkena najis. Oleh yang demikian, menyapunya dengan benda kesat
seperti tanah dan batu sepertimana cara menyucikan tempat istinjak sudah
memadai malah lebih diutamakan. Ini memandangkan tempat istinjak yang bernajis
hanya disapu sebanyak dua atau tiga kali sahaja, sementara selipar dan kasut
kerap kali menyentuh benda-benda kesat tersebut.
Perkara Yang Terdapat Dalam Kehidupan
Tali yang biasa digunakan untuk menjemur pakaian terkena
najis, kemudian ia kering disebabkan sinar matahari atau tiupan angin adalah
dibolehkan menjemur pakaian bersih ke atasnya sebaik sahaja ia kering.
Sekiranya sesuatu objek jatuh ke atas seseorang tanpa
diketahui sama ada air biasa atau air kencing, maka dia tidak perlu memastikan
objek yang jatuh itu. Tetapi jika dia tetap ingin mengetahui objek berkenaan
dengan cara bertanya, maka orang yang ditanya tidak diwajibkan memberi jawapan,
meskipun dia tahu bahawa objek tadi sebenarnya benda najis. Di samping itu, si
penanya juga diwajibkan membasuh bahagian yang terkena objek yang jatuh itu.
Jika kaki atau hujung pakaian terkena sesuatu benda basah
pada waktu malam tanpa diketahui apakah sebenarnya benda basah tersebut, maka
dia tidak diwajibkan untuk mengetahuinya seperti mencium dan sebagainya.
Tidak diwajibkan membasuh apa jua benda yang terkena tanah
jalanan. Kamail Bin Ziyad berkata : “Aku melihat Ali ra berjalan di
tengah-tengah lumpur setelah hujan turun. Namun beliau terus masuk ke dalam
masjid, lalu mengerjakan solat tanpa membasuh kedua-dua kakinya terlebih
dahulu.
Jika seseorang sudah mengerjakan solat, tiba-tiba terlihat
najis pada pakaian atau bahagian badannya yang sebelumnya tidak diketahui, atau
mengetahuinya tapi lupa membersihkannya, atau tidak lupa tapi tidak sanggup
menanggalkannya, maka solatnya tetap dikategorikan sah dan tidak perlu
mengulanginya.
Seseorang yang tidak mengetahui tempat najis pada pakaiannya
diwajibkan membasuh kesemua pakaiannya itu. Sebab, tidak ada jalan lain untuk
menanggalkan najis tersebut melainkan dengan cara membasuh kesemua pakaiannya.
Ini termasuk ke dalam kaedah yang menyatakan : Jika suatu kewajipan tidak
sempurna melainkan dengan adanya perkara lain, maka ia juga menjadi wajib.
Jika pakaian milik seseorang itu bercampur antara yang
bersih dengan yang najis sehingga dia berasa kebingungan memilih mana satu yang
bersih dan yang najis, maka dalam hal ini dia dikehendaki memilih pakaian yang
dianggap bersih mengikut keyakinannya. Namun dia hanya dibenarkan memakainya
untuk sekali solat sahaja, tanpa mengira jumlah pakaiannya itu sama ada sedikit
mahupun banyak. Kes seumpama ini sama halnya dengan masalah kiblat, di mana
seseorang dituntut berijtihad menentukan arah kiblat untuk sekali solat sahaja,
manakala solat berikutnya dia dikehendaki berijtihad semula dalam menentukan
arahnya.
No comments:
Post a Comment